PENGENALAN DAN OBJEKTIF KAJIAN
PENGENALAN
Malaysia sebuah negara yang tidak asing lagi dengan keunikan kepelbagaian kaum serta masyarakat yang berbilang bangsa. Kepelbagaian ini menyebabkan munculnya berbagai jenis makanan, budaya serta sambutan perayaan yang terdapat di Malaysia setiap tahun. Rakyat Malaysia amat bertuah kerana setiap tahun mereka dapat meraikan pelbagai jenis sambutan perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina serta Hari Deepavali.
Kepelbagaian perayaan ini membuktikan Malaysia penuh dengan kejutan kerana setiap bangsa, agama dan budaya yang berbeza mewujudkan satu masyarakat yang bersatu padu dan harmoni. Setiap penduduk di Malaysia pasti tidak akan lupa keistimewaan ini dan merasa bangga menjadi rakyat Malaysia. Dalam setahun, rakyat serta pelancong-pelancong dari luar Malaysia berpeluang merasai beberapa kali perayaan walaupun disambut oleh masyarakat daripada kaum berbeza, namun boleh dirasai kemeriahannya bersama-sama.
Matlamat pembikinan video ini adalah untuk mengkaji satu perayaan yang paling ditunggu-tunggu oleh masyarakat Sabah pada setiap tahun bermula pada 1 Mei hingga 31 Mei. Perayaan ini dikenali sebagai Pesta Kaamatan. Perayaan ini merupakan antara perayaan yang paling popular yang disambut oleh etnik Kadazan-Dusun, namun etnik lain turut mengambil bahagian dalam memeriahkan perayaan ini. Kajian akan dibuat untuk mengetahui dengan lebih mendalam tentang cara dan budaya-budaya yang diterapkan dalam perayaan kaamatan yang majoritinya disambut meriah oleh kaum Kadazan-Dusun.
Pesta Kaamatan juga dikenali sebagai Pesta Penuaian, kini tarikh 30 Mei dan 31 Mei merupakan tarikh klimaks untuk perayaan peringkat negeri. Pada masa lalu, Kaamatan dirayakan untuk mengucapkan terima kasih kepada Tuhan kuno dan semangat padi sempena hasil tuaian yang banyak dan memastikan hasil padi berterusan untuk musim penanaman padi berikutnya. Namun, setelah beberapa kali perayaan ini disambut, terdapat beberapa perubahan dari segi cara Pesta Kaamatan berlangsung terutamanya dari segi kepercayaan yang menjadi penyebab berlaku perubahan dalam cara Kaum Kadazan-Dusun menyambut pesta ini. Kajian ini akan dibuat bagi menerangkan tentang cara pesta ini disambut selepas kedatangan Agama Islam dan Agama Kristian.
Kini, majoriti kaum Kadazan-Dusun telah memeluk agama Kristian dan Islam. Walaupun Kaamatan masih dirayakan sebagai tradisi tahunan, ia tidak lagi dirayakan dengan tujuan untuk memenuhi tuntutan tradisi dan adat istiadat rohani leluhur, melainkan untuk menghormati adat dan tradisi nenek moyang. Hari ini, Kaamatan lebih simbolik sebagai hari perjumpaan dengan keluarga dan orang tersayang. Di dalam negara, Kaamatan moden dirayakan sesuai dengan keinginan peribadi individu dengan pilihan untuk menyediakan atau tidak menyediakan makanan dan minuman tradisional Kadazan-Dusun yang kebanyakannya tidak halal di sisi agama Islam. Makanan tradisional dalam Perayaan Kaum ini juga akan dibincangkan dengan lebih mendalam bagi mengetahui jenis-jenis makanan yang menjadi sebahagian dari kemeriahan Pesta Kaamatan ini.
Pembikinan video dibuat adalah untuk mengetahui kandungan penting kajian yang menjadi asas kepada pembikinan video ini. Kandungan tersebut ialah bagaimana cara sambutan perayaan Kaamatan Oleh kaum Kadazan-Dusun dan apakah pakaian serta makanan tradisional pada hari Kaamatan oleh kaum Kadazan-Dusun. Setiap perayaan di Malaysia pasti mempunyai hidangan-hidangan yang istimewa yang dihidangkan sempena meraikan perayaan tersebut, seperti kuih bakul dan limau Mandarin yang dihidangkan sempena sambutan Tahun Baru Cina atau ketupat dan rendang yang dihidangkan sempena menyambut Hari Raya Aidilfitri bagi umat Islam di Malaysia.
Begitu juga pada perayaan pesta Kaamatan, pasti ada hidangan-hidangan istimewa yang akan dihidangkan pada perayaan tersebut bagi melambangkan sesebuah kaum itu sendiri. Selain itu, pakaian juga menjadi simbolik kepada perayaan sesuatu kaum seperti kaum India memakai Dhoti atau Sari pada perayaan Hari Deepavali. Kedua-dua makanan dan pakaian amat signifikan bagi membezakan sesuatu kaum serta menunjukkan mereka bangga dengan budaya kaum mereka sendiri. Namun, perbezaan kaum di Malaysia tidak menghalang kaum lain untuk mencuba makanan serta pakaian kaum-kaum yang lain. Oleh itu, video ini akan membincangkan mengenai sejarah serta sambutan pesta Kaamatan itu sendiri serta makanan dan pakaian yang menjadi simbolik kepada perayaan pesta Kaamatan itu sendiri.
OBJEKTIF KAJIAN
Objektif kajian adalah sesuatu yang ingin dicapai dalam sesuatu kajian. Ia juga merupakan sesuatu yang penting dalam sesebuah kajian. Terdapat beberapa objektif kajian yang ingin dicapai didalam kajian ini berdasarkan tajuk iaitu Pesta Kaamatan. Antara objektif kajian ialah untuk mengenali asal usul, tujuan dan makna pesta Kaamatan yang diraikan oleh kaum Kadazan-Dusun. Sesuatu perayaan pasti mempunyai tujuan dan matlamat menyambutnya termasuklah Pesta kaamatan. Seterusnya, untuk mengetahui pelbagai acara dan aktiviti yang dilakukan pada hari Pesta Kaamatan. Pada hari perayaan pasti akan berlangsung pelbagai aktiviti untuk memeriahkan lagi suasana hari perayaan.
Akhir sekali, untuk menambah ilmu pengetahuan berkenaan pakaian dan makanan tradisi kaum Kadazan-Dusun pada hari pesta Kaamatan tersebut.Terdapat pelbagai jenis makanan dan pakaian pada Hari Kaamatan yang merupakan sebagai tradisi turun temurun yang tidak dilupakan sehingga sekarang. Berikut merupakan objektif-objektif kajian yang ingin dicapai di dalam kajian ini dalam mengenali acara yang diraikan oleh kaum Kadazan-dusun di Sabah iaitu Pesta Kaamatan.
Comments
Post a Comment